Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjangkakan jumlah ahli Parlimen daripada Umno akan semakin menyusut menjelang akhir bulan ini.
Berucap pada Pidato Malaysia Baru sempena pemilihan PKR malam tadi, beliau berkata daripada 49 ahli Parlimen Umno ketika ini, akan tinggal ‘3, 4 kerat sahaja’.
“PKR hari ini adalah blok terbesar di Parlimen. PKR ada 51 ahli Parlimen, DAP mempunyai 42 ahli Parlimen, Umno ada 49 orang. Esok mungkin 40 orang, kemudian 20 orang dan hujung bulan ini tinggal 3 4 kerat sahaja,” katanya.
Beliau yang juga menteri Hal Ehwal Ekonomi, ketika ditemui media selepas program itu, menjelaskan kenyataan itu berdasarkan penilaiannya terhadap Perhimpunan Agung Umno yang baru berakhir, yang kelihatan lemah tanpa pendirian tegas dalam menentukan hala tuju parti tersebut.
Dalam mengajak ahli PKR menyokongnya dalam pemilihan PKR yang berlangsung Jumaat ini di Terengganu, Azmin yang bertanding jawatan timbalan presiden berkata sekiranya diberi mandat beliau akan memberi sepenuh perhatian dalam memberi kebajikan kepada rakyat serta mengatur strategi menawan negeri itu pada pilihan raya umum ke-15 nanti.
Mengenai tindakan pencabarnya Rafizi Ramli yang kadang kala melontarkan pelbagai dakwaan yang bagaikan mempertikai kesetiaannya terhadap Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin berkata Rafizi perlu meneliti bagaimana perjuangannya (Azmin) sejak 1998 yang melalui pelbagai ranjau dalam mempertahankan Anwar.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang bertanding jawatan naib presiden, berkata ahli PKR perlu memilih kepimpinan utama parti itu berdasarkan komitmen menyatukan ahlinya bukan memecah belahkan atas kepentingan peribadi. – FMT