Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik saranan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin untuk memartabatkan golongan muda di negara ini.
Timbalan Ketuanya, Dr Afif Bahardin berkata, tindakan itu bertepatan dengan aspirasi Malaysia baru yang ingin melihat golongan muda menjadi suara penting dalam pembentukan negara.
“Walau bagaimanapun, MBM diharapkan dapat melaksanakan penetapan had umur orang muda dari 15 hingga 30 tahun berbanding 15 hingga 40 tahun pada sebelum ini.
“Saya berpendapat had umur 15 hingga 30 tahun itu adalah paling sesuai dikategorikan sebagai orang muda dan sewajarnya hanya orang muda yang berumur bawah 30 tahun layak dipilih menjadi pemimpin di kalangan mereka.
“Saya harap Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) dapat melaksanakan perkara ini dengan segera untuk memacu golongan orang muda ke arah yang lebih baik di masa hadapan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Selain itu, Afif yang juga merupakan Exco Kerajaan Pulau Pinang turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada kepimpinan baru MBM yang cakna dengan realiti bahawa golongan muda adalah penentu dalam perubahan landskap politik negara.
“Diharapkan idealisme yang memandu MBM dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan Malaysia baru di bawah kepimpinan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan,” katanya.