Pegawai khas kepada Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin dilantik sebagai Ketua AMK Cabang Tanjong yang baharu.
Ahmad Al-Farooqi Haja Mohaideen, 26, dilantik memegang jawatan itu apabila memenangi pertandingan dua penjuru dalam pemilihan parti baru-baru ini.
Beliau mendapat 84 undi menewaskan pencabarnya, Amir Syamimi Hashim yang memperoleh 37 undi.
Menurutnya, tujuan beliau menyertai politik adalah untuk mendekati dan memahami denyut nadi hati rakyat di peringkat bawah.
“Saya mula terlibat dengan politik apabila berkhidmat dengan bekas Exco Agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abdul Kassim.
“Banyak perkara yang saya belajar termasuk bagaimana Islam boleh berkembang di Pulau Pinang walaupun berada di bawah pentadbiran DAP,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Jelasnya, walaupun dikecam pelbagai pihak, namun ia bukan suatu halangan untuk beliau terus berbakti kepada masyarakat.
“Kini saya dapat memahami bagaimana seorang doktor dan anak muda yang mempunyai visi dan misi sanggup berjuang demi rakyat,” katanya.
Jawatan Timbalan Ketua AMK dimenangi Muhamad Nasri Mubarak yang mendapat 83 undi mengalahkan Redzuan Ibrahim yang mendapat 38 undi.
Bagi jawatan Naib Ketua AMK pula dimenangi S.Jeyabalan yang memperoleh 65 undi menewaskan pencabarnya, Muhammad Fazreen Johari Shanmugan yang mendapat 57 undi.