Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengekalkan keputusan untuk membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah.
Keputusan itu dibuat setelah mahkamah meneliti keterangan dan menerima bantahan awal yang dikemukakan oleh pihak responden.
Muhsin Abdul Latheef sebelum ini memfailkan permohonan supaya dikaji semula pembebasan Guan Eng dan Li Koon pada September lalu.
Beliau yang popular dengan panggilan Mamu Parpu di laman sosial menamakan pendakwa raya sebagai responden pertama, Guan Eng dan Li Koon masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga
Dalam permohonannya, Muhsin meminta mahkamah menukarkan keputusan pada sebelum ini daripada dibebaskan dan dilepaskan kepada dilepaskan tanpa dibebaskan.
Permohonan itu dibuat berdasarkan dakwaan bahawa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mempunyai hubungan baik dengan Peguam Negara, Tommy Thomas.
Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail menolak permohonan Muhsin tanpa kos.
Menurutnya, keputusan yang dibuat pada sebelum ini jelas dibuat tanpa rasa takut dan tidak memihak kepada sesiapa.
“Bila ada keputusan memang akan ada pihak yang tak puas hati. Bagi kesalahan jenayah, kalau tak puas hati boleh buat rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Tetapi dalam kes ini, pemohon adalah pengadu. Jadi tak ada hak untuk dia memfailkan rayuan sebab dia bukan orang kena tuduh,” katanya.
Guan Eng diwakili peguam, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer. Manakala Li Koon diwakili peguam Datuk V Sithambaran dan Rubber Kumaran.
Muhsin pula diwakili peguam, J Gunamalar.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Guan Eng dan Li Koon atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo bawah harga pasaran.
Pihak pendakwaan menarik semula pertuduhan tersebut setelah meneliti dokumen representasi yang dikemukakan oleh Guan Eng dan Li Koon pada 6 Julai lalu.
Mahkamah tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan tersebut ditarik semula tetapi kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan.