Anwar Ibrahim berkata beliau bimbang pengundi Port Dickson yang menetap di luar tidak kembali untuk mengundi ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu bermula pagi ini.
“Pengundi luar masih membimbangkan,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di SK Panglima Adnan di Bagan Pinang, Port Dickson hari ini.
Bakal presiden PKR yang menang tanpa bertanding itu berkata kebanyakan pengundi di Port Dickson keluar awal bagi mengelak jika berlaku hujan petang nanti.
“Kami bimbang juga tentang cuaca. Jumlah yang keluar mengundi pagi ini agak baik,” kata Anwar.
Sementara itu, PAS membawa penyokong dengan bas dari Terengganu untuk memberi sokongan kepada calon mereka, pesara tentera udara, Mohd Nazari Mokhtar.
Anwar bertanding tujuh penjuru dalam PRK ini, menentang lima calon bebas – Mohd Saiful Bukhari Azlan, Isa Samad, Lau Seck Yan, Stevie Chan dan Kan Chee Yuen, selain Nazari.
Penyokong Pakatan Harapan (PH) turut kelihatan melaungkan ‘Reformasi’ dan mengibarkan bendera gabungan itu.
Pondok bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad agak kosong dengan beberapa pembantunya berada di situ.
Tetapi di sekitar sekolah itu, posternya dengan frasa “Sila duduk, Jangan Lari” – ayat yang diucapkan Yang di-Pertuan Agong pada hari pertama persidangan Parlimen tahun ini – ada kelihatan di mana-mana. – TMI