Seramai 54% keluar mengundi apabila pusat pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson ditutup pada jam 5.30 petang ini.
Jumlah itu jauh tersasar daripada jumlah 70% yang dijangka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun ia merupakan jumlah tertinggi dicatatkan dalam siri pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 9 Mei.
PRK pertama bagi penggal Parlimen ini, untuk kerusi DUN Sungai Kandis hanya mencatat 50.31%.
Dua lagi PRK yang dijalankan serentak, di Balakong dan Seri Setia masing-masing mencatat kadar 43% dan 44%
Kesemua peti undi dari 32 pusat pengundian hari ini dan juga daripada undi awal akan dibawa untuk dijumlahkan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.
Seramai 68,317 pengundi didaftarkan di Port Dickson, melibatkan 43% pemilih Melayu, Cina (33%) dan India (22%) dan selebihnya bangsa lain.
PRK ini diadakan ekoran susulan peletakan jawatan penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September untuk membolehkan kerusi itu ditandingi Anwar Ibrahim.
Beliau disaingi Mohd Nazari Mokhtar dari PAS dan lima calon Bebas, bekas menteri besar Isa Samad, bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan, bekas pensyarah Lau Seck Yan dan perunding Kan Chee Yuen.
Daripada kesemua calon tersebut Isa disebut-sebut sebagai pencabar terdekat Anwar, yang dijangka akan menang pilihan raya kecil ini.
Dalam Pilihan Raya Kecil ke-14, Danyal memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 17,710 undi, menewaskan calon Barisan Nasional, VS Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan.
Kerusi yang sebelum ini dikenali dengna nama Teluk Kemang sebelum ini menjadi kubu kuat MIC, sebelum parti itu tewas kepada PKR pada 2008 dan dalam dua pilihan raya umum seterusnya.
Pengundian awal pada 9 Oktober melibatkan 7,191 anggota tentera, polis dan pasangan mereka yang membuangundi di tiga pusat pengundian.
Keputusan dijangka dapat diketahui menjelang jam 10 malam. – TMI