Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang patut lebih risau mengenai prestasi partinya berbanding pencapaian Pakatan Harapan (HARAPAN) pada PRK PD, kata pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang.
Lim mengulas komen Hadi yang berkata jumlah keluar mengundi yang rendah menunjukkan protes terhadap HARAPAN.
“Saya amat tertarik dengan kenyataan Hadi yang berkata jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah menandakan HARAPAN dihukum kerana tidak dapat menunaikan janji pilihan raya umumnya dan sokongan terhadap gabungan parti pemerintah itu merosot.
“Hadi berhak pada igauannya kerana beliau seolah-olah sudah beperangai seperti sifat Datuk Seri Najib Razak selepas beliau bekerjasama dengan bekas perdana menteri itu yang terus-terusan merayan (halusinasi).
“Hadi lebih patut risau dengan kemerosotan sokongan terhadap PAS dan prestasi parti itu yang tidak begitu baik berbanding HARAPAN, selepas PAS menguncup daripada menjadi parti nasional dengan wakil rakyat di seluruh Semenanjung Malaysia dan kini hanya menjadi sebuah parti wilayah yang selesa di negeri-negeri Melayu pantai timur, Kedah dan Perlis,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Hadi telah merosakkan kecemerlangan usaha bekas presiden PAS terdahulu seperti allahyarham Datuk Fadzil Noor, Yusof Rawa dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyantuni kaum, agama dan wilayah lain, jelas Lim lagi.
Anggota parlimen Iskandar Puteri juga berkata kemenangan Anwar mendapat 71.3 peratus undi popular itu lebih tinggi berbanding Najib di Pekan dengan 62 peratus, Hadi di Marang yang memperolehi 59.3 peratus, Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi di Bagan Datuk yang mendapat 51.4 peratus dan Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dengan 43.98 peratus undi popular di Ayer Hitam.
Menurut Lim keputusan PRK PD menunjukkan HARAPAN terus cemerlang dalam membina ‘Malaysia baru’.
“Pada pilihan raya kecil Port Dickson, HARAPAN berjaya menang di banyak daerah mengundi Melayu yang merupakan petanda masa depan yang cerah,” katanya. – mkini