Salah satu projek utama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, jambatan bengkok yang bakal menghubungkan Johor dengan Singapura, mungkin menjadi kenyataan.
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata jambatan itu, yang ditolak oleh dua perdana menteri sebelum ini, kini dalam perancangan semula sejak Mahathir kembali menerajui negara.
“Itu adalah kehendak Tun (Dr Mahathir) di mana dulu dia suruh Tun Abdullah (Ahmad Badawi) tak mahu buat, (Datuk Seri) Najib (Razak) tak mahu buat.
Sekarang, dia jadi PM semula, pada mesyuarat Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar bulan lalu dia tanya sama ada Johor masih mahu jambatan bengkok itu.
“Saya kata terpulang Tun, ini idea Tun. Jika Tun mahu (jambatan) ini diteruskan saya hanya ikut la. Ia mempunyai banyak kebaikan,” kata Osman kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Mengikut perancangan, projek jambatan berbentung S itu adalah lebuh raya enam lorong yang bertujuan menggantikan Tambak Johor.
Walau bagaimanapun, apabila Singapura tidak bersetuju, maka rancangan dibuat untuk membina hanya separuh jambatan itu dan menyambungnya dengan bahagian Singapura.
Ia diluluskan pada tahun terakhir kali pertama Mahathir menjadi perdana menteri, sebelum dibatalkan oleh pentadbiran Abdullah.
Mahathir dilaporkan pernah melobi Najib untuk membina jambatan itu tetapi tidak berjaya.
Sementara itu, Osman berkata Johor juga mempertimbangkan cadangan pembinaan jambatan ketiga ke Singapura.
Beliau berkata Mahathir bersetuju untuk memberikan bantuan persekutuan untuk membina jambatan ketiga itu.
Walau bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi jambatan itu akan dibina untuk mengelakkan spekulasi hartatanah. – mkini