Seramai 13 pakar akademik dilantik menganggotai Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN) bagi mengkaji dasar pendidikan negara ini dengan lebih menyeluruh.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata anggota JKKDPN yang dilantik mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang merangkumi polisi pendidikan, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), seni dan bidang lain di luar dunia pendidikan.
Antara yang dilantik mulai bulan ini hingga April 2019 ialah Presiden Pertubuhan Pentadbiran dan Pengurusan Pendidikan Malaysia Prof Emeritus Dr Ibrahim Ahmad Bajunid dan Rektor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) Prof Ab Halim Tamuri.
“Antara peranan anggota JKKDPN yang dilantik adalah memberi cadangan dan idea baharu dalam menyusun semula sistem pendidikan negara untuk melahirkan masyarakat holistik serta mengkaji semula dasar pendidikan negara dan pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sedia ada bagi tujuan penambahbaikan.
“Mereka juga akan menyediakan serta membentang laporan status kajian JKKDPN kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan setiap bulan serta laporan kajian kepada menteri pendidikan sebelum atau pada 30 April 2019,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Jawatankuasa itu akan memberi syor dari sudut kajian bebas melalui perspektif anggota jawatankuasa serta mengkaji Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (pra-sekolah hingga lepasan sekolah menengah) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (pendidikan tinggi) dengan kerjasama Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan, dan seterusnya akan mengemukakan syor kepada kementerian.
Mengulas pindaan beberapa perkara dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, Maszlee berkata ia akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat.
“Usaha itu akan memansuhkan seksyen yang mengekang kebebasan pelajar dan akademik di universiti dan akan dibentangkan Disember ini,” katanya.
“Bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang tidak terikat dengan AUKU, kita adakan mesyuarat untuk memansuhkan beberapa peraturannya yang dilihat mengekang kebebasan pelajar berpolitik,” katanya. – TMI