Anwar Ibrahim mahu ahli PKR memilih calon yang terbaik untuk menerajui parti dan bukannya mengundi pilihan yang ditentukan oleh orang lain mengikut kumpulan atau “cai”.
Bakal presiden PKR itu berkata beliau tidak peduli dengan mana-mana cai kerana baginya apa yang lebih penting adalah calon yang hendak dipilih itu boleh meningkatkan kekuatan parti.
“Saya tidak mewakili cai. Saya mewakili saudara saudari yang harus memilih calon terbaik.
“Yang terbaik adalah yang ada prinsip, yang teruji perjuangan dan idealisme masih terang dan boleh diharapkan, boleh membantu dalam barisan kepimpinan,” katanya ketika menyampaikan ceramah kepada hampir 200 ahli PKR pada majlis Pidato Malaysia Baru di Shah Alam, malam tadi.
Jelas Anwar, mereka yang mengundi mengikut pilihan yang ditentukan oleh ketuanya itu tidak ubah seperti orang buta.
“Orang yang hanya patuh semata-mata cai yang diarah itu, orang itu kalau tidak buta huruf tapi setengah buta,” katanya, yang bagaimanapun tidak menghalang budaya yang telah ada dalam parti itu.
“Itu hak saudara-saudara. Saya tidak pertikaikan hak,” tambahnya.
Selepas Anwar menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden, perhatian dalam pemilihan PKR kini bertumpu antara dua kem iaitu Azmin atau Rafizi Ramli yang mencabar menteri hal ehwal ekonomi itu untuk jawatan timbalan presiden.
Selepas pengundian di tujuh negeri setakat ini, Azmin kini mendahului dengan 769 undi.
Azmin kini mengumpul 29,063 undi manakala Rafizi 28,294 undi.
Azmin yang juga pengerusi PKR Selangor minggu lalu menang pengundian fasa pertama di Selangor yang melibatkan sembilan cabang. Tujuh cabang lagi akan mengundi lusa sebelum baki enam cabang mengundi pada 28 Oktober. – TMI