Menteri Kewangan Lim Guan Eng tetap dengan kenyataannya di Dewan Rakyat hari ini yang kerajaan Kelantan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar gaji penjawat awamnya.
Menurutnya, malah bekas perdana menteri Najib Razak turut menyatakan perkara yang sama pada awak tahun ini ketika melawat negeri itu.
“Ianya benar kerajaan Kelantan tidak mampu bayar gaji.
“Ini sudah lama berlaku. Baru-baru ini, saya sudah luluskan peruntukan untuk membantu kerajaan negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Lim mengulas mengenai pemintaan Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) untuk beliau (Lim) menarik balik kenyataan yang menghina negeri itu.
Beliau juga berkata kerajana persekutuan masih memberikan peruntukan kepada negeri walaupun diterajui pembangkang yang “sering menyerang pemimpin Pakatan Harapan terutamanya pemimpin bukan Islam”.
Terdahulu pada sesi soal jawab, Takiyuddin bertanya sekiranya kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu boleh mngambil alih projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika kerajaan persekutuan memutuskan untuk membatalkannya.
Lim kemudian menjawab beliau perlu menunggu surat rasmi sekiranya kerajaan negeri berminat untuk berbuat demikian. Beliau bagaimanapun mempersoalkan kemampuan Kelantan untuk mengambil alih projek berkenaan kerana kerajaan negeri itu tidak cukup dana untuk bayar gaji penjawat awamnya.
Ia kemudian mencetuskan ketegangan di Dewan Rakyat dan menyebabkan pemimpin pembangkang lain seperti Noh Omar (BN-Tanjong Karang) mempertahankan Takiyuddin.
Pada sidang media selepas itu, Takiyuddin menggesa Lim untuk menarik balik kenyataannya kerana ia menghina Dewan Rakyat. – TMI