Bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau bersedia menawarkan dirinya untuk mencari ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low di China bagi menyelesaikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Beliau berkata, tindakan itu dibuat atas kapasiti peribadi dan tidak diminta oleh Putrajaya.
“Saya secara perbadi akan ke China untuk bawa balik Jho Low ke muka keadilan kalau beliau masih lagi berada di luar negara dan kita rasa kes 1MDB ini tak selesai.
“Sebab tu kalau ada desas desus saya nak ke China, ini bukan atas permintaan Putrajaya. Saya ada hubungan terdahulu dengan dengan kepimpinan China, kalau benar Jho Low di China, saya akan pastikan beliau dikembalikan dan dihadapkan ke mahkamah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Sembrong itu ditanya sama ada beliau dipanggil oleh Putrajaya bagi membaiki hubungan antara Malaysia dan China.
Pada pada 5 Julai, Jho Low disahkan sudah melarikan diri ke Macau.
Bagaimanapun pada 11 Julai lepas, polis berkata Jho Low dipercayai meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya dan perkara itu dimaklumkan melalui emel yang diterima daripada pihak berkuasa Macau.
Emel tersebut memaklumkan Jho Low meninggalkan Macau dan pergi ke destinasi yang tidak disebutkan.
Mengulas lanjut Hishammuddin berkata beliau akan berusaha mencari ahli perniagaan itu menggunakan hubungan terdahulunya dengan pemimpin China.
Katanya, segala usaha akan dibuat bagi memastikan Jho Low dibawa pulang ke Malaysia dan dihadapkan ke muka pengadilan berhubung isu 1MDB.
“Kalau saya boleh bantu, sampai ke lubang cacing sekalipun saya akan cari dia.
“Ada khabar angin mengatakan dia berada di China dan untuk memastikan sama ada beliau betul ada di negara itu, saya kena bercakap dengan pemimpin China dan kalau China enggan untuk menyerahkan Jho Low ke Malaysia saya nak tahu kenapa,” katanya lagi. – FMT