Kerajaan Pulau Pinang tetap akan meneruskan projek pembinaan jalan berkembar Paya Terubong, meskipun telah mengorbankan hampir 10 orang akibat runtuhan tanah pada minggu lalu.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ar Yew Tung Seang berkata, projek itu bukan perkara baru kerana ia telah diluluskan pada 2016.
“Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat.
“Insiden ini tidak seharusnya berlaku kerana pelbagai kajian telah dibuat oleh pihak berkenaan sebelum ia diluluskan.
“Bagaimanapun, projek ini tetap perlu diteruskan dan kita harap ia dapat disiapkan mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, jajaran tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2020.
Pada masa sama, perunding dan kontraktor projek itu diminta mengemukakan laporan tunjuk sebab terhadap MBPP dalam masa terdekat.
“Saya dapati ada satu punca air telahpun ditutup dan tak diambil kira pengalihan yang perlu dilakukan.
“Ini perkara serius. Saya tak nak buat kesimpulan sekarang kerana siasatan masih sedang dilaksanakan.
“Saya percaya ini mungkin antara punca kejadian runtuhan tanah boleh berlaku,” katanya.