Sudah lebih 5 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara sejak pilihan raya umum Ke-14 (PRU14) dan Ketua Umum PH, Anwar Ibrahim pula telah berjaya kembali ke Dewan Rakyat setelah memenangi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober lalu.
Namun komuniti perniagaan masih tertanya-tanya apakah Anwar akan diberi sebarang peranan dalam kabinet Tun Mahathir yang kebelakangan ini sering dikritik lembab menyelesaikan masalah.
Seorang pelabur, Jameson Tan, yang memiliki kilang di Sungai Buloh Selangor berkata, Anwar sepatutnya diberi peranan khas dalam kabinet berdasarkan pengalaman beliau sebagai menteri sejak 1980an hingga 1998 lalu.
“Anwar tidak patut dibiarkan menjadi Ahli Parlimen biasa. Oleh kerana pengalaman yang luas dan kebijaksaan beliau dalam hal-ehwal ekonomi dan kewangan, selain dari hal urus-tadbir dan pengurusan. Beliau wajar diberi tugas sebagai ‘penyelia’ atau ‘supervisor’ semua kementerian-kementerian kerajaan.
“Pada masa ini, Kementerian Pendidikan nampaknya berserabut dan Kementerian Pengangkutan pula dibelenggu masalah pemandu-pemandu teksi yang sedang menentang operasi Grab.
“Saya rasa kalau Anwar diberi jawatan sebagai Menteri Tanpa Portfolio atau Menteri Penasihat di dalam Jabatan Perdana Menteri, Anwar boleh membantu Perdana Menteri mentadbir dan mengurus isu-isu yang tidak melibatkan ekonomi negara secara terus seperti isu pemandu teksi ketika Tun mesti memberi tumpuan penuh kepada masalah ekonomi negara,” kata Jameson kepada Suara pakatan daily.
Beliau menegaskan sebagai seorang PM yang baru mengambil-alih kuasa, Tun Dr Mahathir memang terlalu sibuk dalam usaha beliau untuk membaiki-pulih masalah hutang negara.
Oleh yang demikian, Anwar Ibrahim mesti diberi peranan yang lebih besar, berkesan dan berkuasa untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh negara
Beliau berkata, Anwar juga boleh diberi peranan merancang masa depan ekonomi negara.