Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu seorang lagi pegawai kanan dari era pentadbiran Najib Razak akan didakwa minggu depan, selepas bekas perdana menteri itu dan dua pegawainya dihadapkan berpuluh-puluh pertuduhan.
Seorang sumber SPRM memberitahu The Malaysian Insight bahawa mereka sudah melengkapkan siasatan berhubung beberapa pemimpin politik dan pegawai kerajaan, dan kini menunggu arahan selanjutnya dari Pejabat Peguam Negara.
“Kami sedang tunggu lampu hijau dari Pejabat Peguam Negara sebelum boleh buat tangkapan,” kata sumber.
“Tugas kami untuk siasat dan peguam negara akan tentukan pertuduhan. Kami sekarang sedang tunggu.
“Kami percaya akan ada lagi tangkapan baharu minggu depan.”
Najib, isterinya Rosmah Mansor, bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah, bekas pengarah agensi perisikan Hasanah Abdul Hamid dan peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah antara yang didakwa dengan pelbagai kesalahan selepas Pakatan Harapan (PH) menang kuasa persekutuan pada Mei.
Bekas pengerusi Tabung Haji dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim direman awal bulan ini dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Ada laporan dibuat terhadap bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung pembangunan Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan bahawa lebih banyak tangkapan akan dibuat berkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib berdepan 38 pertuduhan. Enam pertuduhan baharu kesalahan pecah amanah dikenakan terhadapnya dan Irwan Serigar semalam.
Zahid didakwa minggu lalu atas kesalahan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah membabitkan lebih RM114 juta. Sesetengah pertuduhan terhadapnya dikaitkan dengan yayasan amalnya.
Semua tertuduh tidak mengaku salah dan mohon dibicarakan. – TMI