Bekas Perdana Menteri, Najib Razak berkali-kali berkata beliau tidak bersalah dalam isu penyelewengan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan terbaharu dalam temubual bersama Al Jazeera
Namun bagi Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim, rakyat sukar percaya penafian Najib berkenaan.
“Adakah sesiapa yang percaya kenyataan Najib itu?
“Pada saya, beliau patut beritahu kerajaan semua butir dan kedudukan wang 1MDB atau apa yang berlaku kepada wang negara semasa dia menjadi PM, kerana Malaysia hari ini sedang mengalami kekangan kewangan yang parah akibat dari masalah 1MDB itu.
“Akibat kekangan kewangan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mampu menghapuskan tol lebuhraya dan harga barangan asas mengalami peningkatan (kurang upaya sediakan subsidi).
“Kementerian Kewangan pula perlu merancang subsidi petrol RON95 (dalam Bajet 2019) memandangkan harga minyak di pasaran dunia berada di sekitar AS$76 setong,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan kepada Suara pakatan daily.
Ng menegaskan, sekiranya Najib telah mengurus-tadbir negara dengan baik semasa beliau menjadi PM, Malaysia tidak akan mengalami kemelut kewangan dan kesukaran menarik modal dari pelabur asing.
“Disebabkan pentadbiran Najib yang lemah, tidak telus dan tidak bertanggungjawab, maka kerajaan PH perlu bekerja keras mengembalikan keyakinan pelabur asing.
“Oleh sebab itulah, Tun Mahathir membuat banyak lawatan antarabangsa untuk menarik pelaburan ke negara kita,” ujar Ng lagi.
Bagaimanapun beliau yakin selepas pembantangan Bajet 2019 pelabur akan kembali yakin terhadap ketelusan kerajaan dan masa hadapan ekonomi negara. Cuma, katanya, rakyat perlu bersabar dalam tempoh dua tahun untuk PH mengembalikan ekonomi ke landangan yang betul.
“Pada jangka panjang, saya rasa optimis ekonomi negara akan pulih semula walaupun akan mengambil masa. Kita perlu mengharungi era yang susah buat masa ini tetapi saya harap semoga ia akan berlalu tidak lama lagi,” tambah Ng.