Isu bekas PM Najib Razak hilang sabar ketika ditemuramah oleh Mary Ann Jolley dari stesen televisyen Al Jazeera tempoh hari masih menjadi sebutan rakyat Malaysia.
Jolley yang pernah diusir keluar ketika Najib berkuasa kerana membuat dokumentari pembunuhan Altantuya Shariibuu memang dibenci Najib. Namun apabila bekas PM itu meninggalkan sesi temuramah selepas ditanya isu berlian merah jambu maka ia menjadi satu berita gempar dan memberi peluru kepada penentang Najib menjadikan beliau ‘bahan’ lawak.
Mengulas hal itu, Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran berkata, lebih baik Najib berdiam diri dalam isu skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada bersetuju ditemuramah. Apatah lagi kes berkenaan telah dibawa ke mahkamah.
“Memang wartawan dari Barat bertanyakan soalan-soalan yang susah dijawab tetapi penting dan relevan. Bukan tabiat mereka untuk bertanya soalan mudah.
“Najib sepatutnya jangan mahu diwawancara oleh mana-mana pihak sehingga kes mahkamah selesai sebab beliau kini berdepan dengan terlalu banyak dakwaan berkaitan 1MDB. Bukti-bukti penyelewengan pun sedang bertimbun seperti gunung.
“Diberitahu pasukan peguam beliau ‘berkebolehan’. Jadi, kalau beliau tidak bersalah seperti apa yang dikatakan, maka beliau harus bertenang sahaja (cool) menghadapi cabaran hidup,” kata Manogaran kepada Suara pakatan daily.
Bekas ahli parlimen itu menambah pemerhati politik sangat berminat isu skandal 1MDB kerana ia adalah kes penyelewengan dana terbesar dalam sejarah dunia dan nama Malaysia ‘terkenal’ kerana kes itu.
Kes itu juga menyebabkan negara menghadapi krisis hutang yang parah dan memerlukan tempoh masa lama untuk menyelesaikannya.
“1MDB adalah faktor utama mengapa Malaysia berdepan dengan hutang RM1 trilion dan kekangan kewangan yang parah.
“Rakyat dibebani harga barang dan kos sara hidup tinggi kerana Malaysia perlu membayar hutang yang mencekik leher ini.
“Kalau BN menang pilihan raya umum lalu, sudah pasti Malaysia bankrap hari ini. Dengan kemenangan Pakatan Harapan maka Malaysia terselamat dari masuk ke dalam gaung kebankrapan,” kata Manogaran sinis.