Jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden runtuhan tanah di Paya Terubong menetapkan 8 November sebagai tarikh permulaan mendengar pembentangan dan menjalankan soal siasat.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmaz Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, mereka yang terlibat termasuklah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), jurutera perunding, jurutera penyemak bebas, kontraktor serta pegawai keselamatan projek.
“Tempoh satu bulan bermula 30 Oktober hingga 30 November dicadangkan oleh jawatankuasa khas bagi melengkapkan siasatan.
“Jawatankuasa juga mempertimbangkan untuk menjemput pihak-pihak lain bagi membantu siasatan seperti polis, bomba, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Dosh), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan wakil Penang Forum,” katanya kepada Suara pakatan daily
Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah jawatankuasa khas yang bermesyuarat pada Selasa lalu mendapat persetujuan sebulat suara.
“Jawatankuasa ini akan meneliti dan mengkaji semula maklumat serta dokumen yang berkaitan dengan projek jalan berkembar tersebut.
“Kita akan cuba kenal pasti faktor yang menyebabkan kejadian runtuhan tanah tersebut boleh berlaku,” katanya.
Sebelum ini, insiden runtuhan tanah itu telah mengakibatkan sembilan orang terkorban dan empat lagi cedera.
Kerja-kerja pembinaan di tapak projek itu bagaimanapun telah diarah henti untuk sementara waktu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.