Sejak awal bulan Ogos sehingga hari ini banyak pendakwaan telah dilakukan di mahkamah melibatkan pemimpin politik kerajaan BN. Antara yang terlibat adalah bekas PM Najib Razak, bekas TPM Zahid Hamidi, isteri Najib Rosmah Mansor dan bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman.
Bagi Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, pendakwaan ini jelas menunjukkan kerosakan sistem yang amat parah melanda Malaysia sewaktu pentadbiran BN.
Katanya, rakyat melakukan langkah tepat menyingkirkan BN pada pilihan raya umum ke 14 lalu dan Malaysia belum terlambat untuk dibaik pulih.
“Ini (pendakwaan) menunjukkan betapa teruknya pentadbiran negara di bawah pimpinan Najib Razak yang juga bekas Menteri Kewangan.
“Setiap tahap urus-tadbir melibatkan rasuah, termasuk dalam pemberian kontrak untuk projek-projek mega. Isu penjualan tanah juga melibatkan banyak unsur rasuah,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Ahli Parlimen Gopeng itu juga menegaskan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang melaksanakan amalan prinsip ‘Rule Of Law’ atau ‘Kedaulatan Undang-undang’ yang bererti sesiapa saja melakukan kesalahan akan diheret ke mahkamah tanpa mengira jawatan atau kedudukan.
“Semua orang adalah sama disisi undang-undang. Tiada hak khas akan diberi kepada sesiapa jua,” tambah Lee.
Menurutnya, perlaksanaan undang-undang yang adil adalah penting untuk mengembalikan keyakinan pelabur menanam modal semula ke Malaysia.
“Harapan rakyat, negara ini akan bergerak maju mulai tahun depan. Belanjawan 2019 telah memberi ransangan kepada rakyat bahawa negara akan berjaya mengatasi masalah hutang yang diwarisi pada era BN,” ujar beliau lagi.