Pemilihan terakhir di tiga cabang – Kuala Selangor, Pensiangan dan Tawau – hari ini menentukan sama ada Mohamed Azmin Ali atau Rafizi Ramli akan menjadi timbalan presiden PKR.
Tiga cabang ini merupakan antara 10 cabang PKR terakhir yang menjalankan pemilihan hari ini.
Pengundian diteruskan di Pensiangan kerana ramai ahli tidak dapat mengundi disebabkan jumlah pemilih terlalu ramai dan masalah Internet.
Pengundian semula pula dijalankan di Kuala Selangor kerana pengundian minggu lalu dibatalkan ekoran penemuan alat penyekat telekomunikasi di pusat pemilihan.
Setiap cabang dianggotai lebih 10,000 anggota dan menjadi kawasan tumpuan dua kem yang melihatnya sebagai lubuk undi.
Pada masa ini, Azmin yang menyandang jawatan timbalan presiden mendahului pencabarnya, Rafizi. Namun keputusan itu mungkin berubah, kata penganalisis politik Tunku Mohar Tunku Mokhtar.
“Kesemua tiga cabang boleh jadi penentu. Kuala Selangor boleh juga jadi tumpuan. Nampaknya, persaingan sengit kita dapat lihat sehingga tahap pemimpin turun ke cabang-cabang untuk dapatkan sokongan,” katanya.
Menurutnya, sebab itulah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Azmin sendiri giat mengunjungi Kuala Selangor untuk berkempen.
“Maka tidak hairanlah kalau menteri besar dan Azmin turun ke Kuala Selangor,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) itu kepada The Malaysian Insight.
Di Kuala Selangor, calon ketua cabangnya yang dicabar enam calon lain dilihat lebih cenderung menyokong Azmin berbanding Rafizi, kata calon Majlis Pimpinan Pusat, Razlan Jalaluddin.
“Saya percaya kesemua calon ketua cabang menyokong penuh Azmin kerana sebagai mantan menteri besar telah terbukti mampu membawa Selangor ke hadapan.
“Kita jangka 5,000 akan keluar mengundi,” katanya yang menyokong kem Azmin.
Sementara di Pensiangan, cabang berkenaan dilihat lebih memihak kepada Rafizi dengan kekuatan yang dibawa calon timbalan ketua AMK Raymond Ahuar yang turut merebut jawatan ketua cabang.
“Ribuan penyokong kita tempoh hari tidak sempat mengundi dan saya yakin Pensiangan akan memberi banyak kelebihan buat Rafizi,” kata Raymond.
Di Tawau pula, kedua-dua kem dilihat sama kuat meskipun dua dari tiga calon ketua cabang menyokong kepimpinan “Reformasi 20 Tahun”.
Sementara itu, enam cabang di Melaka dan satu di Jelebu, Negeri Sembilan yang membawa kira-kira 2,000 undi dijangka memihak kepada naib presiden PKR itu.
Rafizi juga dalam satu coretan di Twitter mendakwa undi di Melaka dan Negeri Sembilan memihak kepadanya.
Kiraan undian tidak rasmi menunjukkan beliau mendapat 52% undi berbanding Azmin yang hanya mendapat 48% undi daripada lapan cabang di Negeri Sembilan.
Undian di enam cabang Melaka pula menunjukkan 55% undian diberikan kepada Rafizi dan hanya 45% kepada Azmin.
Bagaimanapun, undi tersebut bakal bertambah disebabkan gangguan proses e-voting yang menyebabkan 2,000 undi tidak dapat dikesan.
Penganalisis menjangka pemilihan akhir di cabang berkenaan akan memberi kelebihan kepada Rafizi kerana pemilih yang mendakwa tidak dapat mengundi didakwa sebagai penyokong beliau. – TMI