Kementerian Kesihatan bersedia untuk mempertimbang penggunaan daun ketum sebagai bahan alternatif bagi merawat ketagihan.
Menterinya, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu bagaimanapun tidak boleh diputuskan dalam tempoh yang singkat memandangkan ia perlu diteliti secara menyeluruh dari sudut saintifik.
“Perkara ini bukan satu perkara yang boleh dibuat secara spontan dan mendadak. Ia perlu penelitian secara cermat yang perlu melalui metadologi yang saintifik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin semalam, yang berkata penggunaan ketum lebih baik untuk menggantikan “methadone” bagi merawat ketagihan.
Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan sentiasa terbuka untuk meneliti pelbagai kaedah rawatan lain yang terbaik bagi memastikan negara maju dalam sektor perubatan.
“Apa pun dalam penemuan dan inovasi, sebagai kementerian yang memajukan dalam penemuan dadah (drug discovery) atau rawatan terbaik, kami bersedia untuk mempertimbangkan apa pun tapi perlu melalui bukti dan berdasarkan nilai dan hasil yang munasabah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dzulkefly mengulangi pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan yang akan dikuatkuasakan Januari depan.
Katanya, larangan itu termasuk bar dan kelab yang dilesenkan sebagai tempat berhawa dingin.
“Perkara itu sudah muktamad dan saya tidak akan berkompromi sebaliknya bertegas dalam hal ini. Saya yakin ini perjuangan kami dan kepada perokok boleh cari tempat lain. Tempat makan adalah tempat semua untuk menikmati makanan mereka,” katanya.
Terdahulu para peniaga mewakili restoran Cina, India dan Mamak seluruh negara bersama membantah keputusan Putrajaya menguatkuasakan pengharaman merokok di outlet mereka tahun depan.
Mereka menyifatkan keputusan kerajaan itu dibuat secara sembarangan dan pelaksanaan peraturan seperti itu sepatutnya diserah kepada pemilik restoran. – FMT