Rafizi Ramli menafikan akan bertanding bagi dewan undangan negeri (DUN) Rantau susulan arahan mahkamah pilihan raya hari ini yang mengarahkan pilihan raya semula diadakan bagi kerusi berkenaan.
Bercakap kepada Malaysiakini, bekas anggota parlimen Pandan itu juga menyalahkan penyokong timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.
“Itu satu pembohongan dari orang di kem Azmin.
“Tak benar sama sekali. Ia berniat untuk merosakkan imej saya,” katanya kepada Malaysiakini melalui mesej pesanan ringkas.
Rafizi, yang mencabar Azmin bagi jawatan timbalan presiden, mengulangi bahawa beliau tidak akan memegang jawatan awam buat masa ini.
Tambah Rafizi, PKR seharusnya mencalonkan Dr S Streram sekali lagi bagi kerusi berkenaan.
“Streram sudah bekerja keras untuk berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu. Beliau jadi mangsa apabila dihalang untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum lalu.
“Orang terbaik bertanding di Rantau ialah Streram. Dan saya akan berkempen untuk beliau,” katanya.
Sebelum ini, terdapat khabar angin yang mengatakan Rafizi akan bertanding bagi kerusi DUN Rantau dan dikatakan seterusnya akan menggantikan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Pada pilihan raya umum lalu, bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan menang tanpa bertanding kerusi berkenaan selepas Streram dihalang masuk ke pusat pencalonan.
Bagaimanapun, mahkamah pilihan raya di Seremban hari ini membatalkan keputusan berkenaan. – mkini