Afif Bahardin berikrar akan berjumpa penyokongnya di seluruh negara untuk memujuk mereka menyokong ketua pemuda PKR yang baru, Akmal Nasir.
“Saya sendiri akan ambil komitmen untuk berjumpa penyokong-penyokong saya di seluruh negara (dan menyeru mereka) untuk memberi sokongan dan kerjasama kepada Akmal sebagai ketua,” katanya pada sidang media selepas Kongres PKR 2018 bagi sayap Pemuda selesai hari ini.
Afif, yang merupakan antara penyokong kuat penyandang timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali, kalah pada Akmal yang merupakan penyokong Rafizi Ramli.
Afif juga sempat menyorot bahawa rakan-rakan sepasukannya hampir menang semua jawatan dalam kepimpinan sayap Pemuda PKR.
Sementara pasukan Akmal hanya memenangi empat dari 25 jawatan dalam Pemuda PKR termasuk satu kerusi naib presiden yang dimenangi S Thiban dan dua jawatan exco.
“Kita juga bangga pengerusi tetap dan timbalan juga datang daripada cadangan yang dibawa oleh kami,” katanya.
Sementara itu, timbalan ketua Pemuda PKR yang baru, Hilman Idham menafikan Akmal akan terpinggir dalam sayap Pemuda.
“Saya sudah nyatakan sokongan pada Akmal. Selepas pemilihan parti, kita akan tumpukan persamaan dan bukannya perbezaan,” kata ADUN Gombak Setia itu. – mkini