Bekas calon PKR Dr S Streram berikrar akan memenangkan kerusi DUN Rantau sekiranya parti itu mencalonkan beliau sekali lagi untuk bertanding di kerusi berkenaan.
“Saya janji kita akan menangkan DUN Rantau, parti akan ada tambahan satu kerusi lagi di Negeri Sembilan, saya berjanji kalau diberi amanah di DUN Rantau,” katanya.
Dr Streram berucap ketika membahaskan ucapan dasar presiden di Konvensyen Nasional PKR ke-13 hari ini.
Beliau tetap berharap akan diletakkan sebagai calon sekali lagi walau Presiden parti Anwar Ibrahim membayangkan bahawa PKR akan mengemukakan calon lain pada kali ini.
Pilihan Raya Kecil DUN Rantau bakal diadakan susulan keputusan Mahkamah Tinggi di Seremban pada Jumaat yang membatalkan kemenangan Mohamad Hasan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
Ia susulan petisyen difailkan Dr S Streram bagi mencabar keputusan pegawai pengurus pilihan raya yang menghalang beliau dari memasuki pusat pencalonan pada 28 April lalu.
Bakal presiden PKR Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan parti itu akan meletakkan calon baru bagi kerusi DUN Rantau.
Anwar berkata, keputusan untuk memilih calon adalah hak pimpinan PKR Negeri Sembilan dan beliau mengambil sikap untuk tidak mengganggu proses tersebut.
“Ya, belum ada muktamad lagi,” kata Anwar kepada pemberita ketika ditanya sama ada PKR akan mengekalkan calon lama atau meletakkan muka baharu di kerusi itu.
“Rantau macam ini, pertama proses dia dari cabang, negeri, biro politik, baru presiden masa itu, perlu lalui prosesnya, sekarang ini saya tidak ambil apa-apa, sikap kerana kita kena buat kajian,” kata Anwar lagi.
Anwar, yang juga merupakan ahli Parlimen Port Dickson bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli akan diletakkan sebagai calon.
Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir semalam berpendapat Dr Streram merupakan calon paling layak mewakili parti itu Di DUN Rantau.
Akmal berkata Dr Streram perlu diberikan peluang sekali lagi untuk bertanding di DUN berkenaan selepas dinafikan hak untuk bertanding di DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.
Semalam, bekas ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin juga berkata sudah meminta parti meletakkan calon wanita di kerusi itu. – TMI