Perbelanjaan kerajaan Pakatan Harapan terhadap pembangunan luar bandar ditingkatkan di bawah Bajet 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam menjawab dakwaan Putrajaya mengabaikan masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, beberapa angka untuk 2019 dilihat lebih rendah disebabkan pengkelasan semula peruntukan tertentu dan pemindahan beberapa agensi kerajaan kepada kementerian yang berbeza.
Peruntukan RM2 bilion bagi biasiswa dan pinjaman pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara), sebagai contoh, diklasifikasikan semula sebagai perbelanjaan pembangunan. Ia pernah diklasifikasikan sebagai perbelanjaan operasi di bawah kerajaan terdahulu.
“Ini kerana pembangunan modal insan merupakan pelaburan jangka masa panjang untuk negara. Pembangunan luar bandar merupakan kunci pemacu utama dalam Bajet. Jadi tidak benar kita tidak mempedulikan masyarakat luar bandar, tidak benar peruntukan untuk Mara dipotong,” kata Lim Guan Eng dalam satu kenyataan media hari ini.
Perbelanjaan operasi Mara kekal sebanyak RM1.3 bilion untuk 2019, manakala peruntukan keseluruhan kekal RM3.7 bilion tahun hadapan.
Guan Eng juga berkata beberapa pihak cuba mengelirukan dengan mendakwa Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerima kurang RM8.4 bilion bagi 2019, berbanding pendahulunya Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang menerima RM9.5 bilion tahun ini.
Katanya, pengurangan peruntukan itu sejajar dengan penstrukturan kementerian untuk mengeluarkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Felcra Bhd dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk meletakkan mereka di bawah kementerian lain.
Risda dan Felcra kini di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi manakala Jakoa di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Tamabh Lim, peruntukan untuk Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Peneraju) dinaikkan di bawah Bajet 2019 kepada RM210 juta daripada RM90 juta tahun ini.
“Peneraju akan menjalankan program untuk Bumiputera dari isi rumah berpendapatan rendah dan juga mewujudkan lebih banyak golongan profesional dari kalangan huffaz.”
Dana untuk Felda juga ditingkatkan, tambahnya, dari RM160 juta tahun ini kepada RM260 juta pada 2019 untuk membaiki dan membina jalan raya dan meningkatkan bekalan air di penempatannya.
Tambahnya, dasar kerajaan lain mengamalkan tender terbuka akan memberi faedah kepada kontraktor Bumiputera kerana ia mengelakkan kronisme dan ketirisan.
Katanya, kerajaan masih mengekalkan kuota untuk kontraktor Bumiputera dan terus menyasarkan subsidi bagi mereka yang bekerja di sektor pertanian, seperti petani, pesawah dan nelayan.
Baru-baru ini, bekas perdana menteri Najib Razak menuduh Putrajaya mengabaikan masyarakat luar bandar dengan mengetengahkan aduan peneroka yang kerajaan tidak melakukan apa-apa mengenai harga kelapa sawit. – TMI