Polis akan memanggil Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk siasatan berhubung kenyataannya yang berbaur hasutan, ketika pihak berkuasa meningkatkan usaha cuba membendung keresahan rakyat susulan polemik Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Dalam rapat umum Himpunan Kebangkitan Ummah di Pasir Salak, Perak hujung minggu lalu, Zahid berkata Umno akan bersama PAS menggembleng orang Melayu “mengamuk” sekiranya kerajaan bertegas mahu meratifikasi ICERD.
Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim berkata Zahid antara beberapa pemimpin politik yang akan dipanggil untuk siasatan berhubung beberapa kenyataan provokatif yang jadi tajuk berita sejak kebelakangan ini.
“Ada 160 laporan polis dibuat dalam tempoh dua minggu lalu menyentuh ucapan yang provokatif. Sebahagiannya dikaitkan dengan Zahid dan kita akan panggil beliau.
“Siasatan kita setakat ini ini menunjukkan sentimen kaum dan agama sedang digunakan dengan meluas,” katanya kepada wartawan, hari ini.
Sementara itu, Persatuan Patriot Nasional (Patriot) menggesa polis memantau ucapan kebencian yang semakin meningkat dalam usaha ratifikasi konvensyen antarabangsa anti-perkauman itu.
Presidennya, Mohamed Arshad Raji berkata walaupun dalam Malaysia Baharu, , perlu ada “batasan bagi kebebasan berucap”, terutamanya apabila ia bertujuan membangkitkan kebencian dan rusuhan kaum.
“Patriot bimbang protes anti-ICERD digunakan sebagai pemangkin terhadap rusuhan dan huru-hara yang dirancang di bahagian lain di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan. – TMI