Keputusan kabinet Malaysia menolak meratifikasi ICERD sudah dijangka sejak awal kerana kurang sesuai dengan semangat Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 152 dan 153 yang berkaitan hak istimewa orang Melayu.
Menurut Exco Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin, keputusan kabinet itu dibuat pada masa yang tepat berikutan kebimbangan orang Melayu dan percubaan pihak pembangkang Umno dan Pas untuk mencetuskan huru-hara menggunakan isu ICERD.
“Malaysia tidak perlu menandatangani dokumen ini sebab ia akan bercanggah dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan di mana hak Melayu diberi keutamaan.
“Yang penting di sini ialah semua kaum di Malaysia sudah lama hidup dalam suasana aman-damai. Oleh itu, kita kekalkan keadaan ini yang sudah dipersetujui oleh semua pihak sejak 1957,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu kepada Suara Pakatan Daily.
Nizar menegaskan, tiada satu kaum pun di Malaysia yang ditindas, didera atau diabaikan dan hak semua kaum telah dijaga dengan baik sejak awal kemerdekaan
Justeru, katanya, adalah bijak untuk Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menangguhkan konvensyen itu supaya keadaan aman sediakala tidak tergugat.
Mengulas isu sama, Menteri Wilayah Persekutuan Ir Khalid Samad berpendapat sedemikian.
Katanya, Malaysia yang terdiri dari 3 kaum utama sudah cukup memberi keadilan kepada semua sesuai dengan konvensyen ICERD walaupun tidak meratifikasinya.
“Malaysia adalah sebuah negara yang unik di mana semua kaum, bangsa dan agama saling hormat-menghormati. Kita mesti melakukan yang terbaik untuk mengekalkan semangat harmoni, muhibbah dan kesejahteraan ini.
“Dalam era Malaysia Baru yang bermula sejak 9 Mei lalu, kita perlu bergerak maju ke depan dan walaupun kadangkala ada kes perselisihan pendapat, pada keseluruhannya majoriti penduduk adalah bijak, rasional dan tidak ada orang yang akan melakukan rusuhan kaum sebab semua orang tahu perbalahan hanya akan membawa malapetaka kepada negara.
“Dengan ini, semua rakyat tidak mengira bangsa dan agama akan berusaha mengekalkan keadaan harmoni dan kerjasama di antara kaum. Kita perlu berganding bahu untuk maju ke depan,” katanya.