Lelaki yang menjadi punca cabaran #DeyyChallenge yang tular di media sosial menanggapi parodi terhadap videonya yang penuh emosi dengan bersahaja, dan berkata beliau tidak kisah memandangkan ia telah menggembirakan ramai orang.
S Kanagarajah yang merupakan seorang peniaga yang membesar di Estet Seafield – kini USJ25, lokasi Kuil Sri Maha Mariamman – berkata orang ramai melihat rakamannya sebagai jenaka dan bukan secara negatif.
“Saya tak terima apa-apa ugutan. Setakat ini saya tengok parodi mereka sebagai lucu.
“Kalau itu buatkan mereka gembira, biarkanlah mereka gembira,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Shah Alam hari ini.
Kanagarajah ke sana untuk pendengaran permohonan penangguhan dan injunksi terhadap pemindahan kuil tersebut yang dilaporkan berusia lebih 100 tahun.
Ditanya tentang videonya yang kini tular, lelaki berusia 43 tahun itu berkata ia berpunca daripada kekecewaan yang dirasainya ketika kekecohan itu.
“Ia selepas melihat ada orang yang diserang sehingga darah mengalir, saya pergi tolong.
“Kita tidak cari gaduh dengan sesiapa, kita hanya buat upacara dalam kuil saja. Saya kecewa dengan apa yang telah berlaku.”
Beliau menegaskan insiden itu bukan pertembungan antara kaum dan berkata kedua-dua orang Melayu dan India adalah mangsa dalam peristiwa itu.
“Kalau anda tanya perasaan saya sekarang, mungkin saya boleh menangis memikirkan apa yang berlaku kepada kami.
“Bukan kami yang mulakan pergaduhan, orang yang memulakannya duduk dalam bilik aircond. (Tetapi) sekarang kami dan kawan-kawan Melayu yang jadi mangsa,” katanya lagi.
Ditanya jika beliau bimbang akan kesan susulan video itu, Kanagarajah berkata beliau tidak merasakan telah melakukan apa-apa kesalahan.
“Orang yang kenal saya faham apa yang saya lakukan.
“Saya tak takut (kesan video itu). Saya tak buat jenayah, tak pegang pistol atau pisau. Saya tak kata apa-apa, cuma emosional,” katanya lagi. – mkini