Petaling Jaya : Ramai rakyat Malaysia menggigit jari terutamanya golongan muda apabila pengumuman yang dibuat Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini dalam Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PRIMA) yang hanya diberikan kepada masyarakat yang tinggal di sekitar Putrajaya serta kakitangan Kerajaan sahaja, kata Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Mengulas lanjut, Program (PRIMA) yang diumumkan di peringkat awal kepada semua warga untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah memiliki rumah dalam usia muda dan tidak perlu menyewa dalam jangka masa yang panjang amatlah dinantikan, tetapi malangnya apabila diteliti hanya diberikan kepada masyarakat yang tinggal di sekitar Putrajaya dan kakitangan Kerajaan sahaja diutamakan.
“Pemberian seperti ini ibarat seperti pilih bulu dan tidak ikhlas untuk membantu rakyat.
“Saya ingin menegaskan agar Kerajaan Pusat (Umno-BN) harus memberi jaminan untuk mewujudkan lebih banyak rumah sebegini dan wajib dilaksanakan dengan terbuka serta adil kepada orang ramai yang layak menerimanya tanpa mengira Parti, Kakitangan Kerajaan atau Penduduk sekitar Putrajaya sahaja,” katanya.
Nurul Izzah Anwar yang juga Naib Presiden PKR berkata ketika menghadiri majlis perkahwinan Muneerah Sharudin di sini.
Katanya lagi, Permohonan PRIMA tidak perlu diskriminasikan kepada golongan tertentu kerana pada awalnya apabila pengumuman dibuat Najib tidak pula menyatakan syarat-syarat diskriminasi sedemikian.
“Kerajaan seharusnya mengagihkan rumah seperti ini kepada rakyat dengan adil dan telus”, katanya.
Fasa pertama program rumah Prima dilaporkan mendapat sambutan hangat sehingga menerima 7,000 permohonan dan memperolehi langganan lebih 13 kali.
Turut hadir meraikan majlis perkahwinan puteri kepada Haniza Mohamed Talha, isteri Menteri Besar Selangor, Salbiah Tunut, Teresa Kok, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan Perindustrian dan Perdagangan, ADUN Seri Muda, Suhaimi Shafiei, Zuraidah Kamaruddin Timbalan Pengerusi PKR Negeri.