Pendedahan Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad menunjukkan bekas PM Najib Razak sudah tidak relevan lagi mewakili Umno atau BN juga tidak lagi diterima dalam politik Malaysia kerana terbukti membohongi rakyat sebelum ini.
Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang berkata, pengakuan itu akan menyebabkan lebih banyak rakyat menolak Najib berbanding sebelum pilihan raya umum ke 13 lalu.
“Sekarang sudah jelas semua perkara yang berkaitan dengan Najib. Hanya orang gila sahaja akan percaya jika beliau menafikannya.
“Ini juga membuktikan penyalahgunaan kuasa telah berlaku untuk tujuan menutup saluran maklumat,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Chang berpendapat kegagalan 1MDB adalah bukti kukuh kejatuhan ekonomi negara yang menyebabkan kekangan kewangan yang sedang dialami oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.
“Terlalu banyak penyelewengan telah berlaku dalam urusan 1MDB. Banyak wang telah hilang atau disonglap dan disembunyikan di serata dunia.
“Selain dari itu, tahap rasuah di bawah pentadbiran Najib adalah terlalu teruk dan semua urusan yang ‘hitam’ disembunyikan,” sambung Chang yang menegaskan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa buat banyak kerja dan mengatasi banyak cabaran untuk memulihkan keadaan ekonomi negara seperti zaman Tun Dr Mahathir sebelum ini (1981 – 2003).