Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield ditawarkan tapak alternatif di Persiaran Harmoni, Putra Heights, terletak kira-kira 2.7km dari tapak asal di Subang Jaya.
Ketika kuil Sri Maha Mariamman sedang berjuang terhadap penempatan semula, satu lagi kuil, Sri Maha Kaliamman, yang pernah berada bersebelahan dengannya menerima tawaran untuk berpindah. Ia berlaku tujuh tahun lalu.
Kedua-dua kuil itu berurusan dengan pemaju yang sama – One City Development Sdn Bhd – dan kedua-duanya ditawarkan perjanjian dan kawasan alternatif yang sama.
The Malaysian Insight melawat tapak baharu semalam dan diberitahu oleh jawatankuasa kuil Sri Maha Kaliamman yang mereka tidak mempunyai masalah sejak berpindah tujuh tahun lalu.
Pengerusi kuil Sri Maha Kaliamman, Ananthan Ramachandran memberitahu The Malaysian Insight sejak berpindah, jumlah penganut ke kuil juga meningkat.
“Kami tidak mempunyai masalah dan gembira dengan lokasi baru ini,” kata Ananthan.
“Kami diberi tanah oleh pemaju pada 2010 dan berpindah pada 2011. Mereka (pemaju) juga membina struktur kuil dan kami membawa dewa-dewa dari kuil lama ke sini.”
Ananthan juga berkata para penganut dari kuil lama di Subang Jaya sekarang datang ke tempat baharu.
“Para penganut kami masih datang ke sini. Di samping itu, mereka yang dari Putra Heights, Alam Megah dan USJ juga datang ke kuil kami,” katanya.
Pemaju minggu lepas memberikan kuil Sri Maha Mariamman notis pengusiran untuk mengosongkan premis itu mengikut persetujuan sebelum ini. Bagaimanapun, para penganut di kuil enggan berundur.
Awal pagi Isnin, kira-kira 50 lelaki bertopeng menyerbu kuil untuk menawannya bagi pihak pemaju. Berikutan itu, ribuan penganut hadir dan rusuhan berlaku dengan beberapa orang cedera, termasuk seorang anggota bomba, dan beberapa biji kereta dibakar.
Semalam, Peguam Negara Tommy Thomas berkata beliau boleh membantu menyelesaikan pertikaian tanah antara kuil Sri Maha Mariamman dengan pemaju.
Di tengah kemelut yang berlaku, kuil itu kini mendapat injunksi interim sehingga permohonan injuksi pelupusan yang betul pada 11 Januari tahun depan.
Di tapak penempatan semula yang ditawarkan oleh pemaju kepada pihak kuil Sri Maha Mariamman di Putra Heights, sebuah struktur kecil sementara dibina bagi menempatkan dewa sembahan suci dari kuil utama. Ia dibiayai oleh pemaju. – TMI