Tranformasi politik PM Najib Razak hanya sedap didengar tetapi praktikalnya ruang politik dan akademik di negara ini masil lagi gagal dicerminkan sebagai membangun dan maju, sebaliknya kian mundur, kelam dan gelap.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan at Tantawi menegaskan pelanggaran “demokrasi ilmu” terbaharu melibatkan Prof. Dr Abdul Aziz Bari digantung tugas oleh Universiti Islam Antarabangsa [UIA] sebagai sangat sadis dan memusnahkan kekebasan akademik di Malaysia.Katanya, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari tidak melakukan apa-apa jenayah melainkan mengeluarkan pandangan dan kritikan berasaskan ilmu dan kepakaran beliau.
“Sungguhpun kenyataan Dr Aziz menyentuh pihak tertentu seperti Sultan dan pihak pemerintah seperti kerajaan, ternyata kenyataannya masih dalam disiplin ilmu
“Disiplin ilmu sememangnya lurus berbanding “disiplin ampu”. Ilmuan atau pakar yang melandaskan pandangan dan pendapat dalam bidangnya secara jujur dan amanah adalah satu langkah yang bijak sekalipun pandangan dan pendapat tersebut diperbahaskan di kalangan cendekiawan
“Kaedah umum “persilatan ilmu” di mana – mana universiti dalam dunia ini ialah “hujjah lawan hujjah” atau “fakta lawan fakta” bukan “hujjah lawan maki hamun” dan “fakta lawan gantung tugas,” tegasnya dalam satu kenyataan media.
Nasrudin menyifatkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, masih belum mampu menepati kualiti sebuah gedung ilmu apabila pantas mengambil tindakan gantung tugas Prof Dr. Aziz Bari. Katanya, percubaan menekan para ahli akademik hanya menyebabkan university di Malaysia semakin sukar untuk tersenarai dalam kelompok 400 buah universiti terbaik dunia berdasarkan mutu kajian dan ilmu.
“Kami warga Dewan Pemuda PAS Malaysia cukup tersinggung dengan perkembangan ini. Sudahlah mahasiswa mereka belenggu dengan pelbagai peraturan seperti AUKU, kini pensyarahnya pula berdepan dengan tindakan yang tidak bertamadun oleh sebuah pusat pengajian yang kononnya bertaraf antarabangsa.
“Kami mendesak agar Prof. Dr. Abdul Aziz Bari segera dibebaskan dari pegantungan yang telah mencemar dunia ilmu dan merosakkan reputasi universiti sebagai menara ilmu dalam negara ini. Kalaupun gagal menaikkan prestasi universiti diperingkat antarabangsa maka janganlah pula dirosakkan lagi pencapaian sedia ada kerana ia sangat memalukan,” katanya.