Pemuda MCA berkata parti itu perlu menggesa ke arah pembubaran BN bagi membolehkannya membentuk gabungan baru bersama parti yang mempunyai ideologi yang sama.
Ketuanya Nicole Wong berkata ia merupakan pendirian sayap itu selepas perbincangan tertutup ketika perhimpunan agung tahunannya di Kuala Lumpur hari ini.
“Pemuda mencadangkan pembubaran BN dan untuk MCA mencari rakan baru,” katanya sambil menegaskan parti itu tidak perlu bekerjasama dengan parti yang “mengamalkan ekstremisme”.
Wong bagaimanapun tidak menjawab apabila ditanya sama ada MCA akan menerima Umno dan PAS sebagai rakan dalam gabungan baru yang dicadangkan.
“Saya tidak mahu nyatakan parti mana yang akan diterima atau ditolak,” katanya.
Ketika diminta mengulas lanjut, beliau berkata, “Masyarakat Cina boleh mengundi PAS. Anda boleh tanya mereka sama ada pernah mengundi PAS seleaps dipujuk untuk berbuat demikian.”
“Jadi ada ruang untuk kita berbincang (tentang rakan pada masa akan datang). Jangan ikat kita sekarang,” katanya lagi. – mkini