MCA hari ini bersetuju untuk meluluskan pembubaran Barisan Nasional (BN) dan bukan meninggalkan pakatan itu.
Keputusan itu dicapai pada mesyuarat agung tahunan parti hari ini.
Presiden MCA Wee Ka Siong berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira senario politik semasa di negara ini.
“Perhimpunan Agung memberi kuasa kepada jawatankuasa pusat parti untuk membuka jalan bagi pembubaran Barisan Nasional dan menjalin permuafakatan yang berkesan,” katanya di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menambah bahawa resolusi untuk membubarkan BN diluluskan pada 6.18 petang dan menafikan laporan bahawa perwakilan telah mengadakan perarakan pada 2 petang tadi sebagai tanda protes terhadap resolusi itu.
Beliau berkata speaker telah memberi semua perwakilan peluang untuk membincangkan semua isu yang dibangkitkan sebelum resolusi dibuat.
“Ini adalah pertemuan pertama dijalankan secara tutup pintu dan kami membenarkan perwakilan dan anggota kami menyuarakan apa sahaja yang mereka mahu,” katanya.
Resolusi itu mempunyai lima kategori yang meliputi hal ehwal parti, politik, kerajaan, ekonomi dan pendidikan.
Wee berkata resolusi itu dibuat selepas mendengar semua perwakilan dan terdapat 12 pemuda diberi peluang untuk berdebat.
Beliau menambah hanya seorang individu yang tidak bersetuju dengan resolusi tersebut namun beliau tidak tahu siapa yang tidak bersetuju itu.
Wee juga tidak menyatakan gabungan politik mana yang akan dipilih MCA berhubung resolusi itu demi menjalin gabungan politik yang berkesan.
Semalam, Pemuda MCA menyeru parti itu untuk meninggalkan BN dan mencari rakan kongsi yang berpotensi bagi memulakan semula langkah ke depan parti itu.
Timbalan Presiden MCA Dr Mah Hang Soon juga berkata parti itu berpecah dalam memilih sama ada ia akan terus bekerjasama dengan BN atau membubarkan gabungan itu – TMI