Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi pembiayaan tanpa faedah berjumlah RM100 juta kepada Yayasan LHDN, tetapi pembiayaan itu tidak dimeterai dengan perjanjian antara kedua pihak, lapor ketua audit negara hari ini.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, pembiayaan tersebut “diberi dengan syarat bayaran balik oleh Yayasan LHDN mulai 2037 selepas tempoh 20 tahun daripada pembiayaan diberi”.
Yayasan LHDN adalah subsidiari yang ditubuhkan pada Oktober 2017, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Madinah Mohamad.
Sementara itu, Madinah menyorot perhatian kepada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) yang telah melaburkan dana sejumlah RM2.37 bilion dalam simpanan tetap di bank berlesen.
Beliau melaporkan permohonan kelulusan telah dihantar kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, tetapi “kelulusan bagi melabur sejumlah RM2.37 bilion tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan”.
KWIE merupakan satu kumpulan wang yang ditubuhkan, ditadbir dan dikawal oleh Suruhanjaya Tenaga. Kumpulan wang itu bagi maksud menguruskan impak tarif elektrik terhadap pengguna, atau apa-apa maksud lain yang berkaitan dengan industri elektrik.
Ketua audit negara berkata ia tertakluk kepada Seksyen 44D Akta Bekalan Elektrik (Pindaan) 2015, yang menyatakan wang dalam kumpulan itu hendaklah dilaburkan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang diluluskan oleh menteri dengan persetujuan menteri kewangan.
LKAN 2017 Siri 2 dikeluarkan hari ini oleh Jabatan Audit Negara bagi tempoh Jun hingga berakhir Disember 2017. – mkini