LUAHAN RASA: Sebelum ini saya adalah penyokong tegar PAS. Setiap kali PRU saya akan pastikan memangkah PAS. Tetapi semenjak PAS bersama UMNO, saya dah tak berminat menyokong PAS.
Saya tak salahkan UMNO sebab saya tau siapa yang ada dalam UMNO. Tapi dengan PAS saya dah tak percaya lagi dengan perjuangannya.
Selama ini pemimpin-pemimpin PAS mengajak ahli-ahlinya dan orang-orang Melayu menjauhi UMNO. Alasannya UMNO telah melakukan banyak kesalahan kepada agama Islam dan orang-orang Melayu. Tetapi kini, pemimpin ang sama dalam PAS telah menjilat ludahnya sendiri dan tanpa rasa malu serta bersalah mengajak ahli-ahli PAS bersekongkol dengan UMNO.
Walhal dulu siang malam berdoa dan meminta Allah swt musnahkan UMNO. Sekarang apabila Allah swt makbulkan doa-doa PAS musnahkan UMNO, tiba-tiba pemimpin PAS mengajak ahli-ahli PAS menolong UMNO.
Apa yang berlaku pada UMNO adalah kesilapan UMNO sendiri yang mana terlalu angkuh dan bongkak. UMNO angkuh dan bongkak pada Allah swt dan juga orang-orang Melayu.
Akhirnya Allah swt telah menunjukkan kuasanya sahaja yang boleh mengalahkan UMNO dan mengajar pemimpin-pemimpin UMNO yang angkuh dan bongkak ini.
Kenapa PAS perlu sibuk nak menyelamatkan UMNO sedangkan Allah swt yang jatuhkan UMNO?
Perjuangan UMNO juga bukan untuk agama islam dan orang-orang Melayu. Perjuangan UMNO hanya untuk kayakan pemimpin-pemimpinnya sahaja.
Semua tahu pemimpin-pemimpin UMNO semasa berkuasa telah mencuri hasil kekayaan negara yang sepatutnya menjadi milik semua rakyat. Ketika berkuasa, pemimpin-pemimpin UMNO lupa kepada ajaran agama Islam dengan mengamalkan rasuah dan penyelewengan kuasa dalam pentadbiran mereka.
Pemimpin-pemimpin UMNO juga tidak membela nasib orang-orang Melayu sebaliknya lebih mementingkan nasib rakan-rakan mereka dalam BN yang majoritinya bukan Melayu berbanding saudara-saudara Islam mereka dalam PAS.
Kenapa baru sekarang UMNO mementingkan perpaduan Melayu dan saudara sesama Islam sedangkan masa berkuasa dulu UMNO melayan PAS seperti kucing kurap?
Melihat PAS bersama UMNO seolah-olah PAS restu dengan apa yang UMNO lakukan selama ini. Rupa-rupanya, menurut PAS sekarang, apa yang UMNO lakukan selama ini adalah betul dan apa yang PAS lakukan adalah salah.
Secara automatik segala tuduhan PAS kepada UMNO selama ini adalah tidak benar dan semua ahli-ahli PAS telah ditipu oleh pemimpin-pemimpin PAS sendiri.
______________________________________________________________________________
Penulis adalah bekas penyokong tegar Pas di Selangor