Himpunan yang dianjurkan Pas dan Umno pada Sabtu ini untuk membantah ratifikasi ICERD sudah tidak relevan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia kerana kerajaan sudah pun menyatakan pendirian untuk tidak meratifikasi ICERD di negara ini.
“Saya lihat demonstrasi ini bukan lagi untuk memprotes ICERD, tetapi demi memastikan survival politik dan menjana modal politik untuk Pas.
“Jika himpunan ini tidak dibatalkan, saya sarankan Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) gunakan peluang ini untuk protes semua skandal kewangan yang berlaku semasa pentadbiran Umno dan BN.
“Inilah perkara yang sepatutnya dilakukan Abdul Hadi demi semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kenyataan Abdul Hadi yang bersifat provokatif tentang perlunya himpunan ICERD adalah kerana tidak bersetuju dengan bilangan ahli parlimen Muslim yang sedikit dalam Pakatan Harapan.
“Kerajaan telah membuat keputusan berkaitan polisi-polisi negara dan memutuskan untuk tidak meneruskan proses ratifikasi ICERD.
“Malah dalam kabinet pun tidak timbul isu ahli parlimen bukan Muslim dalam Pakatan Harapan melebihi ahli parlimen Muslim,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, daripada 28 ahli kabinet, seramai 17 orang adalah muslim dan selebihnya bukan Muslim.
“Manakala daripada 27 timbalan menteri, 18 orang adalah Muslim dan sembilan lagi adalah bukan Muslim,” katanya.