Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail, yang sebelum ini mengumumkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas, telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Menurut bekas exco kanan yang berusia 62 tahun itu, beliau telah menghantar borang permohonan untuk menyertai parti itu Isnin lepas dan diluluskan serta diberikan nombor keanggotaan BERSATU sehari selepas itu.
Katanya, keputusan menyertai BERSATU dibuat kerana merasakan parti yang baru berusia dua tahun itu mempunyai kekuatan tersendiri dan hala tuju yang jelas di bawah kepimpinan pengerusinya yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di peringkat pusat dan timbalan presidennya Datuk Seri Muhkriz Tun Mahathir di peringkat negeri.
Beliau juga menafikan tindakannya itu sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat di kawasannya atau parti lama, UMNO, dan merasakan BERSATU mampu memperjuangkan agenda agama, bangsa serta tanah air.
“Kalau kita buat sesuatu yang buruk, rosakkan ekonomi negara, ambil duit negara…itu dinamakan pengkhianatan…saya bukan tukar agama tukar parti saja, landasan perjuangan tetap sama tidak berubah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Ku Abdul Rahman juga menjelaskan beliau tidak ditawarkan sebarang jawatan untuk menyertai BERSATU dan meminta semua pihak menghentikan polemik mengenainya, sebaliknya serta menumpukan kepada usaha membangunkan rakyat dan negeri ini.
“Sekurang-kurangnya dengan keputusan yang saya buat, saya berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah lebih stabil dengan bilangan kerusi DUN sekarang,” katanya.
Pada 12 Nov lalu, Ku Abdul Rahman melalui Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Ahmad Kasim, mengumumkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas ketika sidang DUN ke-14, selepas 45 tahun bersama UMNO.
Keputusan Ku Abdul Rahman menyertai BERSATU itu menjadikan PH Kedah ketika ini sudah mempunyai majoriti mudah di dalam DUN dengan 19 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN.
Ia sekali gus menyebabkan Barisan Nasional melalui UMNO hanya tinggal dua kerusi DUN, dengan 15 kerusi lagi dimiliki PAS. – MD