Bimbang Umno menjadi terlalu Islamik dan rapat dengan PAS menjadi sebab utama pemimpin Umno Sabah bertindak keluar parti, menurut sumber.
Mereka menyatakan bekas pengerusi perhubungan Umno Sabah Hajiji Mohd Noor, yang mengetuai gerakan itu, merujuk kepada hubungan antara Umno dan PAS apabila menyatakan kepimpinan Umno sudah hilang hala tuju.
Hajiji berkata demikian semalam ketika mengumumkan sembilan Adun, empat ahli Parlimen, dua senator, dua ahli Majlis Tertinggi Umno, 21 ketua bahagian, Wanita Umno Sabah, Puteri Umno Sabah, dan juga 12 Pemuda bahagian keluar parti.
Mereka turut membawa lebih 50% daripada 500,000 ahli Umno Sabah berdaftar.
Sumber itu menambah, mereka turut terkejut apabila pada perhimpunan anti-ICERD di Kuala Lumpur, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka mengumumkan Umno dan PAS boleh bekerjasama.
Zahid berkata, kerjasama Umno dan PAS melibatkan isu agama Islam. Ini adalah selepas ahli Umno dan PAS berhimpun pada perhimpunan anti-ICERD.
“Kita juga akan bekerjasama dalam isu lain. Ini bukan kerjasama politik sahaja, tetapi kerjasama berdasarkan iman.
“Saya mahu Umno dan PAS bekerjasama selepas ini,” kata presiden Umno itu.
Menurut sumber berkenaan, perkembangan terbaru itu turut mengecewakan lebih 100,000 ahli Umno bukan Islam di Sabah.
“Mereka mengadu Umno menjadi semakin Islamist dan rasis,” tambah sumber berkenaan.
“Majoriti ahli di sini bukan Melayu. Jadi adakah itu bermakna kami adalah ahli Umno kelas kedua?”
Individu lain yang turut keluar parti menyatakan bahawa semasa retreat Umno selepas pilihan raya 9 Mei, pemimpin parti telah membuat garis panduan mengenai hala tuju baru yang akan diambil oleh parti, tetapi tiada apa perkembangan selepas itu.
“Tiada apa pun yang dilaksanakan. Ia hanya cakap-cakap,” menurut satu lagi sumber.
Sumber itu menambah, mereka juga kecewa kerana walaupun banyak kali menggesa Ahmad Zahid dan majlis tertinggi berhubung autonomi, gesaan ini tidak diendahkan.
“Majlis tertinggi dengan mudah menolak permintaan untuk berikan lebih banyak autonomi kepada parti di negeri itu,” katanya.
Ini bermakna, Umno Sabah tidak boleh membuat keputusan ke atas ahlinya sendiri, sentiasa perlu bergantung kepada pemimpin parti di Semenanjung Malaysia.
“Mereka tidak pedulikan gesaan ‘Sabah untuk Sabahan’, dan inilah hasilnya.”
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad malam tadi mengesahkan beliau ada bertemu pemimpin Umno Sabah minggu lepas sebelum pengumuman keluar parti itu.
“Memang mereka datang dan memaklumkan bahawa mereka mahu meninggalkan Umno,” katanya.
Menurutnya lagi, bekas ahli Umno itu akan menjadi wakil rakyat bebas dan sebarang keputusan untuk menerima mereka masuk ke dalam salah satu daripada empat parti Pakatan Harapan akan dibuat kemudian. – TMI