Bekas setiausaha agung Umno, Radzi Sheikh Ahmad keluar parti dan kini menyertai Bersatu, lapor Utusan Online.
Penyertaan bekas Ahli Parlimen Kangar itu disahkan oleh Setiausaha Bersatu Perlis, Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful semalam mengiringi Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya menyerahkan kad keahlian parti kepada Radzi di kediaman beliau di Kangar.
“Penyertaan Radzi itu sekali gus memberi semangat kepada kepemimpinan Bersatu di negeri ini. Malah, pengalaman luas Radzi akan membantu perjuangan Bersatu khususnya di Perlis,” kata Wan Saiful, seperti dipetik Utusan Online.
Radzi, 76, yang juga anak menteri besar Perlis pertama, menyertai Umno pada 1972 dan menang kerusi Parlimen Kangar pada 1982.
Beliau pernah dilantik sebagai timbalan menteri dalam Kabinet Dr Mahathir Mohamad antara tahun 1983 hingga 1988.
Ketika krisis Umno ekoran pemilihan parti pada 1987, Radzi memihak pada Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar kedudukan Dr Mahathir sebagai presiden parti.
Beliau selepas itu menyertai Tengku Razaleigh mengasaskan Semangat 46, sebelum kemudian kembali masuk Umno apabila parti itu bubar.
Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr Mahathir melantik Radzi dalam jemaah menterinya pada 2004, sebelum memberikan beliau portfolio kanan sebagai menteri dalam negeri pada 2006.
Akhir September lalu, Wan Saiful mendakwa beberapa pemimpin Umno negeri akan menyertai Bersatu dan ada kemungkinan kerajaan negeri akan beralih tangan.
Perlis adalah satu daripada dua negeri, selain Pahang, yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
BN mempunyai 9 kerusi di Dewan Undangan Negeri Perlis, dengan pecahan 8 Umno dan 1 MCA, sementara bakinya disandang PAS (2), PKR (3) dan seorang wakil rakyat bebas.
Adun Tambun Tualang, Ismail Kassim jadi wakil rakyat bebas setelah keluar Umno pada Jun lalu. Beliau membuat keputusan itu selepas mendakwa hilang keyakinan pada pucuk pimpinan parti di tengah-tengah kemelut isu pelantikan menteri besar. – TMI