Bekas pengerusi Felda, Isa Samad hari ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah dan rasuah melibatkan sogokan bernilai lebih RM3 juta bersabit pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh agensi itu.
Beliau tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.
Pertuduhan ke atas Isa melibatkan bekas pembantunya, Zahid Md Arip, sekarang setiausaha politik kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Isa, 69, dituduh satu pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan bagi kesalahan pecah amanah dan 9 pertuduhan mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi dakwaan rasuah.
Beliau didakwa atas kapasitinya sebagai pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) berhubung pembelian Merdeka Hotel & Suites di Kuching pada harga RM160 juta tanpa kelulusan lembaga pengarah Felda.
Nama Zahid disebut dalam 9 daripada 10 pertuduhan tersebut.
Menurut kertas pertuduhan, Zahid dikatakan jadi orang tengah antara Isa dan Ikhwan Zaidel, pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, syarikat pemilik hotel berkenaan yang didakwa menyogok bekas pengerusi Felda itu.
Rasuah yang didakwa disogok antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015 itu bertujuan memudahkan urusan jual beli hotel berkenaan.
Zahid pernah ditahan reman lapan hari untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes ini pada Ogos tahun lalu.
Beliau yang merupakan bekas aktivis Reformasi 1998 kemudiannya menyertai Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14. Beliau diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan bertanding di kerusi Parlimen Pekan, mencabar Najib Razak.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM800,000 terhadap Isa dengan seorang penjamin sementara pasport beliau ditahan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 Januari depan. – TMI