Orang Melayu tidak boleh membina kekuatan mereka dengan sentimen kaum dan agama semata-mata kerana ia akan meruntuhkan negara berbilang kaum seperti Malaysia, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Orang Melayu juga mesti sedar mereka gagal kerana diri sendiri, bukannya disebabkan adanya bangsa lain di negara ini, tambahnya.
“Saya ingin mengingatkan umat Melayu sekiranya sikap orang Melayu masih bertumpu kepada soal perjuangan membina kekuatan Melayu berteraskan kepada sentimen kaum dan agama, maka itu semua hanya membawa orang Melayu hanyut dalam emosi dan diseret mengikut kepentingan politik kelompok tertentu di kalangan pemimpin Melayu dan Islam yang tindak bertanggungjawab,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sebagai membuka Konvensyen Nasional Amanah 2018, di Ipoh, hari ini.
Beliau berkata, sudah timbul pandangan mengatakan jika Melayu, Islam melakukan kejahatan, perlu ia disokong kerana mereka akan ke syurga, berbanding bukan Islam kerana mereka akan ke neraka.
“Inilah fahaman songsang yang ditanamkan oleh sesetengah pihak yang merosakkan orang Melayu,” kata menteri pertahanan itu lagi.
Mohamad yang juga ahli Parlimen Kota Raja berkata, sejak akhir-akhir ini terdapat kecenderungan ahli agama menghasut umat Islam supaya bermusuh dengan rakyat bukan Islam.
Golongan itu yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang Islam, melihat tiada nilai kesaksamaan antara komuniti Islam dan bukan Islam, katanya.
“Malangnya, seakan menjadi satu kecenderungan akhir-akhir ini di kalangan ahli-ahli agama di rantau Malaysia, yang membawa dan menghasut umat Islam untuk bermusuh dengan rakyat bukan Islam dalam negara mereka.
“Seolah-olah asal hukum di dalam hubungan antara Muslim dan penganut agama lain adalah hubungan permusuhan dan tiada nilai kesaksamaan di antara muslim dan bukan muslim,” kata Mohamad di hadapan 3,000 perwakilan dan pemerhati Amanah dari seluruh negara.
Lebih malang lagi, golongan itu tidak mempedulikan isu rasuah dan salah guna kuasa yang jelas perbuatan terkutuk yang mampu menghancurkan negara, kata beliau.
“Malangnya mereka yang menggelar diri mereka sebagai pejuang Islam ini tidak mempedulikan hal-hal berkaitan rasuah dan salah guna kuasa yang jelas suatu perbuatan terkutuk daripada segi agama dan menghancurkan negara.
“Malah mereka sanggup pula bersimpuh dengan perasuah-perasuah yang menghancurkan negara atas nama perjuangan bangsa dan agama kononnya, dan mereka berada di atas satu lori,” kata Mohamad, merujuk kepada pemimpin Umno dan PAS yang menyertai himpunan membantah ratifikasi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara, baru-baru ini.
Dua parti pembangkang itu kata Mohamad, menjadikan agama dan kaum sebagai alat demi mendapatkan sokongan orang Melayu.
“Malangnya, sikap berpolitik yang tidak bertanggungjawab ini hanya melahirkan bangsa Melayu yang pemikirannya bersifat perkauman melampau, menyuburkan kelompok ekstremis dan boleh mengheret negara kepada perpecahan dan rusuhan antara kaum,” katanya lagi. – TMI