Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menggesa Umno mengadakan pemilihan parti serta-merta.
Kenyataan itu dibuat ketika seorang demi seorang tokoh Umno mengumumkan mereka meninggalkan parti terbabit.
“Setuju. (Adakan) pemilihan parti serta-merta,” ciapnya di Twitter.
Terdahulu Khairy yang juga anggota parlimen Rembau menciap ulang pandangan pengguna Twitter.
Menggunakan nama @SyedRifqi99 pengguna Twitter terbabit berkata semua sayap Umno dan anggota majlis tertinggi parti itu mesti menuntut Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai presiden parti.
“Selain itu Umno mesti mengadakan mesyuarat agung luar biasa serta-merta bagi membolehkan parti memilih pemimpin baru.
“Hanya anggota Umno boleh selamatkan Umno. Bersatu, Anwar dan PAS tak boleh,” ciapnya.
Kenyataan Khairy itu dinyatakannya hanya beberapa jam selepas bekas setiausaha agung Umno Radzi Sheikh Ahmad disahkan keluar dari parti tersebut dan menyertai Bersatu.
Anggota Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abd Aziz pula menjadi pemimpin terbaru – setakat ini – mengumumkan keputusannya meletak jawatan dalam Umno dan meninggalkan parti berkenaan.
Untuk rekod Khairy sudah beberapa kali menunjukkan rasa tidak setujunya kepada pendekatan diambil Umno di bawah Ahmad Zahid. Antaranya, sikap parti itu yang bekerjasama dengan PAS.
Hari ini juga Ahmad Zahid dibawa ke mahkamah untuk dihadapkan dengan tuduhan pecah amanah melibatkan dana sebanyak RM10 juta.
Anggota parlimen Bagan Datuk itu kemudian mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan.
Ahmad Zahid dituduh menggunakan dana Yayasan Akal Budi untuk memberi pinjaman kepada Armada Holdings Sdn Bhd di Affin Bank Berhad, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 8 Dis 2015.
Sebelum ini Ahmad Zahid sudah dikenakan 45 tuduhan rasuah dan salah guna kuasa. Perkembangan hari ini menjadikan jumlah dakwaan yang dikenakan ke atas Ahmad Zahid di mahkamah sebanyak 46. – mkini