Anggota parlimen yang keluar Umno dan mahu menyertai Pakatan Harapan perlu menunjukkan keazaman mereka terhadap Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim yang dikatakan bakal menjadi perdana menteri.
Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar menjelaskan perkara ini merupakan antara syarat yang dipersetujui Majlis Presiden PH dan para pemimpinnya.
“Sebagai tambahan terhadap pengiktirafan dan sokongan mereka terhadap Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri hari ini, mereka juga perlu berjanji menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada bakal perdana menteri,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.
Xavier berkata MP berkenaan perlu mengambil kesempatan untuk mendedahkan dan memberi maklumat mengenai tuduhan rasuah yang melibatkan para pemimpin Umno sekarang seperti bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menambah bahawa mereka juga harus komited kepada harapan Harapan untuk membawa perubahan positif kepada negara dengan menyokong perundangan yang relevan di Dewan Rakyat.
“Perubahan besar yang dibawa Harapan yang dianggap positif bagi rakyat dan mungkin memerlukan undi majoriti dua pertiga juga harus disokong oleh anggota parlimen tersebut,” katanya.
Xavier berkata selagi anggota parlimen itu memenuhi syarat-syarat berkenaan, mereka boleh menyertai Harapan, tetapi mereka juga boleh kekal sebagai MP bebas jika mahu berbuat demikian.
“Ada harga yang perlu dibayar dengan MP melompat dan menyokong gabungan parti pemerintah sekarang. Mereka ini sepatutnya membina pembangkang yang berwibawa.
“Harganya adalah suatu keazaman penuh terhadap matlamat Pakatan Harapan sebagaimana yang diundi majoriti rakyat dan bukanlah mengambil kesempatan (opurtunis) demi untuk bersama dengan pihak yang menang,” katanya.
Walaupun kalah dalam pilihan raya umum ke-14, Umno masih merupakan parti pembangkang terbesar dengan 54 anggota parlimen.
Kini cuma terdapat 38 MP Umno di Dewan Rakyat, menjadikannya parti terbesar ketiga selepas PKR dan DAP.
Sejak Khamis lalu, sepuluh orang anggota parlimen telah keluar Umno dan mendakwa presidennya Ahmad Zahid Hamidi gagal mengemudi haluan parti itu. – mkini