Selepas lebih setahun sejak pembentukannya, Amanah berjaya menarik ramai ahli bukan Melayu yang melihatnya sebagai sebuah parti yang benar-benar menerima kepelbagaian dalam kerencaman budaya Malaysia.
Anggota bukan Islam dalam parti serpihan PAS itu kini berjumlah 5,000 – daripada 100,000 jumlah keseluruhan ahlinya – kebanyakannya adalah bekas ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bagi penyokong bukan Islam.
Pengasas DHPP, Hu Pang Chaw berkata ia adalah pilihan sepatutnya diambil, beralih arah selepas Presiden Amanah Mohamad Sabu, serta pemimpin seperti Salahuddin Ayub dan Dr Mujahid Yusof Rawa, meninggalkan PAS pada 2015.
“Selepas (Mursyidul Am PAS) Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 2015, PAS mula merosot,” kata Hu, yang mengasaskan Kelab Penyokong PAS pada 2004.
“Ia lebih masuk akal untuk mengikut Mat Sabu,” kata beliau yang berusia 63 tahun itu selepas konvensyen kedua Amanah di Ipoh semalam.
Selama 10 tahun kewujudan DHPP, bilangan ahli bukan Melayu berlegar sekitar 1,000 dengan ramai tawar hati dengan perlembagaan PAS yang melarang orang bukan Islam daripada menjadi ahli sepenuhnya.
Amanah adalah parti terkecil dalam Pakatan Harapan, dan masih bergelut merayu kepada pengundi Islam yang berpecah antara PAS konservatif dan dua parti majoriti Melayu lain – PKR dan Bersatu.
Tetapi parti itu nampaknya mendapat penghormatan – dan berkembang – disokong orang bukan Melayu, yang selesa menyokong parti majoriti-Melayu dilihat lebih sederhana dan progresif.
Bulan lalu, dua bekas pemimpin Gerakan – Liew Yun Fah (bekas naib presiden) dan Loo Yeng Peng (bekas Ahli Parlimen Puchong) – menyertai parti itu.
K. Balakrishnan, yang juga bekas anggota DHPP berkata ketiadaan pengasingan di kalangan ahli Melayu dan bukan Melayu merupakan faktor utama beliau beralih arah.
Beliau berkata pemimpin Amanah turut memperjuangkan hak bukan Islam seiring dengan menegakkan nilai Islam, sambil menambah beliau diberikan peluang dalam parti walaupun bukan Islam atau Melayu.
“Walaupun saya orang India, saya diberi kedudukan berdasarkan kebolehan saya,” kata ahli majlis perbandaran Kuala Kangsar dari bahagian Sungai Siput.
Seorang lagi ahli Amanah, Frankie Koh, berkata walaupun Amanah ditubuhkan berdasarkan nilai Islam, ia lebih progresif daripada PAS.
“Walaupun mereka juga Islamis, mereka tidak mengikut secara membabi buta dan akan mencabar kepimpinan. Ini adalah amalan demokratik yang sihat dalam parti,” kata Koh.
Bagi Sharon Teo, langkahnya menyertai Amanah dibuat selepas yakin parti itu benar-benar terbuka kepada maklum balas daripada kaum dan agama lain.
Teo menjadi sukarelawan agen pengundian dan pengiraan (Paca) bagi Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub di Pulai untuk Pilihan Raya Umum ke-14 dan “dilamar” semasa salah satu ceramahnya.
“Selepas menang, beliau meminta saya bekerja sebagai pegawai pusat perkhidmatan Pulai,” kata Teo, yang mewakili sayap Belia Wanita Amanah (Warda) semasa perbahasan parti mengenai ucapan presiden semalam.
Berusia 29 tahun dan sudah merancang untuk menyertai parti politik, beliau berkata Amanah adalah model yang diperlukan oleh Malaysia – negara dengan majoriti Melayu-Islam dengan setiap kaum dan agama boleh wujud bersama.
“Presiden terbuka dan menjadikan bekerja dengan orang Islam di sini sangat mudah,” katanya. – TMI