Langkah PM Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai tidak perlu mesti diterima dengan berlapang dada.
Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran berkata, biar pun DAP lantang memperjuangkan pilihan raya PBT namun situasi semasa belum sesuai untuk kaedah melantik Datuk Bandar, Yang DiPertua PBT dan ahli majlis itu dilaksanakan. Apatah lagi dalam suasana parti pembangkang Pas dan Umno yang memainkan isu perkauman. Dikhuatiri pilihan raya itu akan menyebabkan timbul tohmahan kawasan bandar dikuasai Cina dan Melayu hanya di luar bandar.
Pilihan raya PBT juga, menurut Manogaran, bukanlah janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum ke 14
“Semua Datuk Bandar yang dilantik telah menjalankan tugas dengan baik. Oleh itu, Kerajaan PH tidak perlu memperbetulkan keadaan ini. Adalah lebih baik untuk memberi tumpuan kepada kenaikan kos sara hidup.
“Buat masa ini, harga sayur, ikan dan daging telah melambung naik dan yang teruk sekali ialah harga telur di mana harga 10 biji telur biasa telah mencecah RM4.50. Isu ini adalah penting dan mesti ditangani dengan segera kerana ia akan membebankan golongan marhaen B40 tanpa mengira kaum dan agama,” kata bakal calon pilihan raya kecil Cameron Highlands itu kepada Suara Pakatan Daily.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua rakyat supaya terus memberi sokongan kepada Kerajaan PH yang sedang cuba sedaya-upaya untuk mengatasi cabaran kekangan kewangan pada masa ini.
“Saya harap Kerajaan PH akan memperolehi lebih banyak lagi dana dari pelabur asing. Sejak PH menang PRU14 pada 9 Mei 2018, imej negara telah dipulihkan dalam sektor ekonomi, ketelusan dan pentadbiran dalam pelbagai kajian (survey ranking) di peringkat antarabangsa.
“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Malaysia berada di landasan yang betul dalam hal-hal pentadbiran dan kita tidak perlu adakan pemilihan untuk jawatan-jawatan majlis tempatan untuk membuktikan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi.
“Lebih bijak dan sesuai kita mengambil langkah mengawal kos sara hidup untuk lima tahun yang akan datang sebab ekonomi peringkat antarabangsa telah diramalkan akan jatuh oleh pakar-pakar ekonomi sedunia,” tambah Manogaran.