Mahkamah Pilihan Raya memerintahkan undi bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor dikira semula pada 2 Januari depan.
Hakim Hashim Hamzah membuat keputusan itu apabila menerima bantahan calon Pakatan Harapan Senator Marzuki Yahya yang memfailkan petisyen selepas kalah 81 undi.
Marzuki memfailkan petisyen mendakwa ada percanggahan antara Borang 14 dengan jumlah undi yang dipaparkan di pusat penjumlahan undi.
Proses pengiraan semula itu akan dijalankan oleh pendaftar mahkamah, kata hakim.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya kini wakil rakyat bebas selepas mengumumkan keluar Umno pada 14 Disember lalu.
Beliau keluar bersama lima ahli Parlimen Umno, yang mengisytiharkan tindakan mereka bersama dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Annuar Musa.
Pada PRU14 lepas, Shabudin menang dengan majoriti hanya 81 undi mengalahkan Marzuki dari Bersatu dan calon PAS, Rizal Hafiz Ruslan.
Marzuki yang kemudian dilantik senator kini timbalan menteri luar.
Hakim Hashim sebelum ini membatalkan petisyen Marzuki pada 18 September tetapi selepas rayuan di Mahkamah Persekutuan, kes itu dihantar semula kepada beliau untuk dibicarakan.
Peguam Marzuki, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata semua salinan Borang 14 akan diberi kepada peguam untuk diteliti.
Hashim menetapkan 14 Januari untuk sebutan kes susulan pengiraan semula undi.
Ini adalah petisyen pilihan raya ketiga yang diterima mahkamah, selepas DUN Rantau dan Parlimen Cameron Highlands.
Kes DUN Rantau kini dalam proses rayuan manakala Cameron Highlands akan mengundi semula pada 26 Januari depan. – TMI