Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi harus tinggalkan Umno demi kelangsungan parti itu untuk masa hadapan.
Penganalisis Politik, Md Shukri Shuib berkata, sudah tiba masanya corak pemikiran, hala tuju dan kepimpinan parti itu perlu berubah.
“Beberapa pemimpin yang dilihat boleh mengundang konflik dan masalah kepada parti itu harus mengundurkan diri dan menjadi ahli parlimen bebas jika perlu.
“Dalam hal ini, Umno harus diselamatkan berbanding kepentingan individu tertentu. Sekiranya tidak, kemungkinan ramai lagi tokoh dan ahli parlimen akan bertindak keluar parti,” katanya.
Menurutnya, untuk membendung perkara itu daripada berlarutan, lebih baik sekiranya Najib dan Zahid berkorban untuk parti dan demi keutuhan negara.
“Keutamaan harus diberikan kepada usaha untuk melihat sebuah negara yang lebih mempunyai kestabilan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya.