Kerajaan Pulau Pinang sedia mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda tiga buah sekolah di Mak Mandin setiap kali berlaku hujan lebat.
Adun Bagan Jermal, Soon Lip Chee berkata, perkara itu sudah pun berada dalam pengetahuan kerajaan negeri dan dalam peringkat perbincangan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik.
“Saya sendiri telah mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Mak Mandin dan memang isu ini telah lama berlaku. Kita pun sedia maklum mengenai masalah ini.
“Kita sedang berbincang dan mencari mekanisme terbaik untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku sejak lebih 20 tahun lalu,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, masalah banjir kilat itu turut menjejaskan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Mak Mandin.
“Setakat ini kita baru siap bina jambatan baru di Mak Mandin, tapi ia belum siap sepenuhnya.
“Kita akan rancang dan fikirkan kaedah terbaik untuk menangani masalah banjir kilat pada masa hadapan,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Exco Belia dan Sukan berkata, setakat ini belum ada suatu tempoh ditetapkan untuk pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf di kawasan berkenaan.