Perubahan landskap politik negara selepas PRU14 lalu memperlihatkan parti pembangkang seperti gagal memainkan peranannya untuk semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan baharu.
Ketua Pemuda Penang Front Party (PFP), Jasper Ooi berkata, parti pembangkang sama ada Pas mahupun BN kelihatan membisu dan tidak berani menegur pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan di peringkat persekutuan mahupun negeri.
“Pembangkang sekarang tidak macam dulu. Sebelum ini antara BN dan Pakatan, mereka sentiasa ada semak dan imbang.
“Tetapi selepas PRU14, pembangkang sekarang seolah-olah membisu. Tak ada siapa berani kritik kerajaan Pakatan Harapan.
“Walaupun kami (PFP) parti yang kecil, tapi kami berusaha untuk semak dan imbang kepada kerajaan baharu ini,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Jelasnya, kekalahan teruk yang berlaku kepada BN memperlihatkan mereka seperti tidak bersemangat lagi untuk semak dan imbang kepada kerajaan yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Keadaan sama turut berlaku di Pulau Pinang apabila tidak ada mana-mana pemimpin pembangkang berani tegur pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.